
Orang Melayu juga pernah dirujuk sebagai orang Kun-lun dalam beberapa catatan China. Istilah Kunlun pada asalnya digunakan untuk merujuk kepada banjaran gunung yang terbentang melangkaui sebahagian besar wilayah Tibet dan utara India. Ia kemudiannya digunakan oleh orang Cina zaman dahulu sebagai rujukan kepada semua bangsa berambut hitam kerinting yang tidak bertamadun dari gunung-gunung dan hutan-hutan terpencil. Orang Vietnam, orang Champa dan Khmer pernah digelar sebagai orang Kunlun oleh orang Cina sebelum istilah ini digunakan pada orang Melayu. Pada tahun 750, Jianzhen (688-765) menyatakan kehadiran ramai "orang Brahmin, Parsi dan Kunlun di Guangzhou". Buku Tang merekodkan "setiap tahun, para saudagar Kunlun datang dengan kapal-kapal mereka dengan barang-barang bernilai untuk berdagang dengan orang Cina".
Dalam catatan I-Tsing (seorang sami Buddha Dinasti Tang), yang melawat Kepulauan Melayu di antara tahun 688 - 695, beliau ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama Mo-Lo-Yu yang terletak sejauh 15 hari pelayaran dari Bogha (Palembang), ibu negeri Sribhoga (Srivijaya). Beliau juga mengambil masa 15 hari pelayaran dari Mo-Lo-Yu ke Ka-Cha (Kedah), oleh itu Mo-Lo-Yu mungkin terletak di tengah-tengah antara kedua-dua tempat. Menurut I Tsing, Mo-Lo-Yu pada mulanya adalah sebuah kerajaan bebas sebelum ia ditawan oleh SriBhoga.
Pada zaman Dinasti Yuan (1271–1368) dan Dinasti Ming (1368–1644), perkataan Ma-La-Yu sering disebut dalam sejarah China untuk merujuk kepada sebuah negara di Nanyang atau "Laut Selatan". Istilah ini sering dieja berlainan kerana perubahan Dinasti.
Pengembara dari Venice yang masyhur Marco Polo (1254–1324) dalam bukunya Pengembaraan Marco Polo ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama "Malauir" yang menurutnya terletak di bahagian selatan semenanjung Tanah Melayu.
Perkataan "Malayu" ada dipahatkan pada Batu Bersurat Padang Roco yang bertarikh 1286 di Dharmasraya kemudian Adityawarman pada tahun 1347 menyebut kerajaannya dengan nama Malayapura seperti yang dipahatkan pada bahagian belakang Patung Amoghapasa.
Pada masa kesultanan Melayu Melaka yang menjadi kuasa utama di kepulauan Melayu pada abad ke-15, perkataan "Melayu" dimasyhurkan bagi menerangkan perbezaan budaya di antara orang Melaka dengan orang-orang asing dari rantau yang sama, terutamanya Orang Jawa dan Orang Thai. Melaka bukan sahaja menjadi pusat perdagangan utama serantau, tetapi juga sebuah pusat budaya Melayu yang terpenting, berpengaruh dalam membentuk institusi politik dan budaya tradisional Melayu dalam abad-abad yang seterusnya.
Ketika zaman kolonialisme Eropah, perkataan "Malay" diadaptasi ke dalam bahasa Inggeris dari perkataan Belanda "Malayo", yang juga diadaptasi dari perkataan Portugis "Malaio", yang berasal dari perkataan bahasa Melayu "Melayu".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan