“Jibam” merupakan tajuk sebuah novel yang ditulis oleh Ibrahim Anon (terkenal dengan nama pena “Ujang”) dan diterbitkan oleh Creative Enterprise sekitar tahun 1992. Di dalam novel Jibam, Ujang berjaya mengolah cerita ini dengan begitu menarik sekali sehinggakan ianya mendapat sambutan luar biasa daripada pembaca. Sehingga kini, Novel Jibam masih diulang cetak dan ditampilkan dengan kulit novel terkini, yang dilukis oleh pelukis muda yang berbakat besar, iaitu Syaffeq Syahman Jaafar (anak kepada Jaafar Taib).
Jibam – nama sebenarnya Ashraf -- anak yang unik. Sedikit lembap otak dan fikirannya. Namun, mempunyai keistimewaan yang tersumbunyi. Jibam mewarisi kepandaian bapanya Suman mengubat penyakit. Suman mati terbunuh dalam perut hutan. Dan kematiannya sungguh misteri. Novel ini juga mengetengahkan watak seperti Tok Ngah Sudin yang pasti menimbulkan kebencian/kemarahan setiap pembaca kepada watak ini kerana sikapnya yang mengkhianati persahabatan dan permusuhannya dengan Jibam sehingga sanggup untuk menamatkan riwayat anak kecil ini. Jibam juga dibenci Usin Singai. Marahnya Usin Singai memuncak tatkala basikal tuanya dicat biru oleh Jibam. Hinggakan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam. Usin Singai menetap di atas tanah Tok Ngah Sudin yang sebenarnya dimiliki oleh Suman. Dan Jibam, anak yang bodoh alang itu, perlahan-lahan membongkar rahsia kematian ayahnya. Ilmu ghaib yang diwarisi dari ayahnya serta khianat dan dendam kesumat Tok Ngah Sudin dan Usin Singai. Watak seperti watak Kadir, abang kedua Jibam, dan Piah, ibu Jibam, menghidupkan lagi jalan cerita. Kadirlah yang banyak membela Jibam walau caranya agak kasar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan